
Malaysia: Kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 ringgit.
“Sementara isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.
“Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000.
Beliau berkata, kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih.
Katanya, bagi individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula, akan menerima bantuan RM350.
“Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.
“Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH,” katanya.
Peminjam diberi dua pilihan bayar balik pinjaman
Kuala Lumpur: Institusi perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 dan perusahaan mikro dengan pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peminjam dalam kategori itu akan diberi dua pilihan iaitu menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
“Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan opsyen dan menyempurnakan dokumentasi.
“Untuk peminjam daripada golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan. Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik.
“Fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020,” katanya dalam Pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai moratorium, beliau berkata, sejak April hingga September lalu Malaysia menjadi negara pertama di dunia memberi moratorim secara automatik dan peralihan ke arah Bantuan Pembayaran Bersasar mulai 1 Oktober lalu menyebabkan institusi perbankan terus menawarkan moratorium lanjutan dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran.
“Setakat ini, lebih daripada 650, 000 permohonan bantuan pembayaran telah diterima, dengan kadar kelulusan tinggi iaitu 98 peratus.
“Bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan PKS yang pendapatannya terus terjejas oleh wabak Covid-19,” katanya.
Menurutnya, pada masa sama, bank telah melaporkan bahawa sekitar 85 peratus peminjam telah meneruskan semula pembayaran pinjaman mereka tanpa meminta bantuan sejak moratorium automatik berakhir.
Leave a Reply