
Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat terutamanya golongan yang berisiko seperti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata oleh sebab itu kerajaan tidak membenarkan permohonan untuk mengeluarkan caruman KWSP secara bersasar.
Beliau berkata, walaupun tuntutan ini jika dibenarkan boleh dilihat sebagai satu program kerajaan yang sebenarnya tidak membabitkan wang atau usaha kerajaan, tetapi akan mengurangkan simpanan hari tua daripada caruman rakyat sendiri.
“Apabila dana KWSP menyusut, ini akan mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.
“Ini akan membawa kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan caruman KWSP kerana jika pulangan secara keseluruhannya rendah, maka pencarum lain pun akan turut menanggung kesan itu,” katanya menerusi hantaran video di laman Instagram hari ini.
Rafizi berkata, tindakan kerajaan sebaliknya ialah untuk menambahkan lagi caruman dan simpanan hari tua kepada pencarum dan bukannya membenarkan pengeluaran seperti yang dituntut segelintir pencarum.
“Oleh sebab itu kerajaan memilih jalan yang memberi kebaikan kepada semua pihak, bukan memilih jalan singkat yang akan meninggalkan masalah kepada pemimpin lain pada masa hadapan untuk diselesaikan,” katanya.
Rafizi berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak berpuas hati apabila permintaan untuk membahaskan isu pengeluaran KWSP bersasar ditolak pada permulaan persidangan Dewan Rakyat pagi tadi.
Pencarum KWSP boleh pinjam bank mulai 7 April
PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40 hingga 50 tahun dengan tabungan minimum RM3,000 dalam Akuan 2, layak membuat pinjaman bank mulai 7 April ini.
KWSP menerusi kenyataan hari ini memaklumkan dua bank menyediakan kemudahan pinjaman itu iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank.
Ia ditawarkan dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.
Perkara itu dinyatakan KWSP menerusi perincian mengenai mekanisme, terma dan syarat Fasiliti Sokongan Akuan 2 (FSA2) yang kini boleh digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman bank yang dibuat oleh pencarum.
Menurutnya, FSA2 adalah kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.
Tambahnya, simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).
“Bagaimanapun pengeluaran ini adalah bersyarat, di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti termaktub dalam Akta.
“Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka.
“Permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian,” menurut KWSP.
KWSP berkata, ahli terlebih dahulu perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 dan permohonan hendaklah dibuat mengikut terma dan syarat dipersetujui dengan institusi perbankan.
Setelah permohonan diluluskan, katanya, ahli boleh mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang diluluskan institusi perbankan yang terlibat.
“FSA2 akan dilaksanakan dalam dua fasa, dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan BSN.
“KWSP akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan,” katanya.
KWSP berkata, sepanjang Fasa 1 pelaksanaan skim yang akan dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.
Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.
Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warga Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.
Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun. – Malaysiapost
Leave a Reply