Syarat i-Sinar tak logik dan tak adil kata Pakar Ekonomi, Kena tunggu 3 Bulan Tidak Munasabah. Ini nasihat Najib Kepada KWSP

Syarat i-Sinar tak logik dan tak adil kata Pakar Ekonomi, Kena tunggu 3 Bulan Tidak Munasabah. Ini nasihat Najib Kepada KWSP

MALAYSIA: KUALA LUMPUR – Meskipun program i-Sinar, iaitu pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru-baru ini telah diperluaskan kepada lebih ramai ahli yang terjejas, namun masih banyak rungutan dan keluhan yang kedengaran.

Ada yang memperli i-Sinar sebagai ‘i-Sedih’, ‘i-Malap’ dan pelbagai lagi nama ejekan, berikutan syarat yang dikenakan terlalu ketat, yang mana satu daripadanya apabila kemudahan itu hanya terpakai kepada mereka yang berhadapan dengan pengurangan pendapatan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

Pakar Ekonomi yang juga Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak Datuk Shazali Abu Mansor, menyifatkan kadar minimum pengurangan gaji sebanyak 30 peratus itu tidak munasabah dan tidak adil.

KWSP tidak seharusnya meletakkan syarat peratusan yang terlampau ketat, sebaliknya memudahkan pengeluaran kepada pencarum yang terdesak dan memerlukan wang, untuk kelangsungan kehidupan.

“Jika kurang gaji 30 peratus baru boleh keluar itu tidak adil, mereka yang bergaji kecil dan mengalami pengurangan gaji sebanyak 20 peratus, tidak layak untuk membuat pengeluaran, tetapi mereka yang bergaji besar dan dipotong gaji 30 peratus, pula layak.

“Tidak munasabah cara ini, seharusnya kenalah permudahkan, mereka ini dah jatuh, jatuh lagi ditimpa tangga apabila tidak layak untuk mengeluarkan wang sendiri, kerajaan perlu fikirkan cara yang lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata memandangkan syarat ketat itu bukan dicapai di Parlimen, maka KWSP tidak perlu meletakkan syarat yang berat, sebaliknya membenarkan pengeluaran kepada pencarum yang mengalami pengurangan gaji, tanpa mengira berapa pun pemotongan yang dihadapi.

“Kalau seseorang itu ada wang dan tidak terjejas, mereka tidak pergi ke KWSP untuk meminta-minta hak mereka, tetapi kalau mereka pergi dan sanggup berbaris lama, itu bermakna mereka betul-betul terdesak dan memerlukan wang,” katanya.

Shazali berkata kerajaan juga seharusnya membenarkan para pencarum mengeluarkan sejumlah wang bagi tujuan modal berniaga, untuk meneruskan kelangsungan kehidupan yang terjejas, dengan syarat mereka membayar semula pengeluaran yang dibuat.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata, bagi pencarum yang terkeluar daripada syarat namun benar-benar memerlukan pengeluaran tersebut, seharusnya membuat rayuan kepada KWSP.

“Meskipun syarat itu adalah ketetapan KWSP, namun pekerja boleh ke KWSP dan membuat rayuan, saya berharap KWSP akan mempertimbangkan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Namun dalam masa sama, pencarum yang layak membuat permohonan dan menerima wang i-Sinar mesti memahami bahawa ia adalah ‘wang bantuan kesukaran’, maka ia perlu dibelanja mengikut keperluan.

“MTUC khuatir wang i-Sinar yang dikeluarkan dibelanjakan pada yang luar daripada yang diobjektifkan dan selepas wang itu habis, mereka masih menghadapi kesukaran dan masih tidak mencarum semula ke KWSP, ketika itu bantuan apa yang boleh dikeluarkan oleh KWSP dan kerajaan,” katanya.

kwsp 2020

Tambahnya, di bawah Akta Kerja 1955, sesuatu syarikat itu tidak boleh sewenang-wenangnya memotong gaji pokok pekerja dan sebarang pemotongan gaji perlu dimohon terlebih dahulu kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Rabu lepas, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang layak membuat pengeluaran, yang mana kategori satu adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi kategori 2, ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa, selepas Mac 2020, dan pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

— BERNAMA

i-Sinar: Munasabah ke kena tunggu 3 bulan lagi?

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kewajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil masa sehingga akhir Februari tahun depan untuk mengeluarkan wang pencarum melalui i-Sinar.

Sedangkan, golongan yang terjejas akibat Cooviid-19 telah menunggu wang tersebut sejak bulan Oktober lalu apabila beliau dan UMNO mencadangkan pengeluaran wang tersebut.

Tetapi pengumuman KWSP semalam bagi kategori 2 bermaksud pemohon perlu tunggu sehingga 11 Januari 2021 untuk memohon dengan pelbagai bukti dokumen, kena tunggu lagi 2 hingga 3 minggu untuk dimaklumkan KWSP jika permohonan layak atau tidak.

“Jika layak, bayaran hanya akan dibuat sebelum akhir bulan berikutnya – iaitu pada akhir bulan Februari. Sekarang awal bulan Disember.

”Adakah ianya munasabah bagi mereka yang tengah lemas untuk tunggu 3 bulan lagi sehingga akhir bulan Februari sebelum mendapat pelampung sedangkan mereka sudah berharap sejak bulan Oktober iaitu 5 bulan dahulu?,” soal Najib.

Semalam, KWSP telah mengeluarkan syarat-syarat dan butiran mengenai permohonan pengeluaran i-Sinar.

Syarat-syarat berkenaan terbahagi kepada dua kategori.

Namun, bagi Kategori 2, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021. – MalaysiaGazette

Najib Gesa Permudahkan Proses, Pencarum Ma rah Syarat Ketat i-Sinar KWSP

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan mempermudahkan proses pengeluaran skim i-Sinar dari Akaun 1 KWSP susulan kema rahan ramai pencarum terhadap syarat-syaratnya yang ketat.

Najib berkata, proses pengeluaran skim i-Sinar masih mempunyai kekurangan yang perlu diperbaiki dan ditambah baik demi kepentingan pencarum.

“Ini jelas kelihatan dari jumlah komen mencecah 50,000 ribu di ruang komen posting saya malam semalam di mana hampir 99% adalah komen yang berbunyi i-Kecewa, i-Ken cing dan i-Ma rah,” katanya, merujuk kepada komen rakyat Malaysia yang mengadu di Facebook beliau.

Najib menjelaskan berdasarkan komen-komen tersebut agak ketara ramai pencarum yang kecewa dan rasa dipermainkan kerajaan.

“Ramai pencarum sudah bertukar menjadi pencarut sebab rasa telah dipermainkan pemerintah.

“Saya percaya jumlah komen yang mencecah 50,000 adalah satu petunjuk bagi kema rahan Rakyat.

“Sebab itu, saya tuntut kerajaan PN untuk sekali lagi menambah baik skim i-Sinar dengan tidak lagi mengenakan apa-apa syarat bagi mana-mana ahli yang ingin mengeluarkan simpanan mereka untuk menghadapi krisis pandemik yang sudah melanda kita selama 10 bulan,” ujarnya.

KWSP Malaysia

Menurut beliau lagi, kerajaan seharusnya mempermudahkan proses pengeluaran dan meletakkan kepercayaan kepada rakyat kerana hanya rakyat sendiri yang memahami cabaran kewangan yang sedang mereka hadapi sekarang.

“Rakyat juga faham mereka tidak akan sia-siakan simpanan masa tua mereka jika tiada keperluan mendesak,” katanya.

Dalam pada, beliau turut membangkitkan beberapa persoalan yang ditimbulkan para pencarum berkenaan syarat pengeluaran i-Sinar.

“Adakah ianya logik bahawa ahli dengan pendapatan RM10k sebulan yang turun 30% menjadi RM7k dianggap terjejas tetapi ahli dengan pendapatan RM2k sebulan yang turun 20% menjadi RM1,600 tidak dikira sebagai terjejas dan tidak layak?

“Kerajaan juga tidak akan tahu berapa jumlah beban tunggakkan hutang atau liabiliti dihadapi ramai akibat pendapatan yang tidak menentu yang telah bertimbun setiap bulan sejak pandemik bermula 10 bulan lalu.

“Sebab itu, ianya bukan tanggung jawab kerajaan untuk membuat andaian ahli mana yang sedang terdesak dengan meletakkan syarat arbitrari bahawa pendapatan ahli perlu berkurang 30% sebelum layak.

“Ianya juga bukan tanggung jawab kerajaan untuk menafi Rakyat mengambil duit sendiri pada ketika mereka paling terdesak.

“Sebaliknya, tanggung jawab kerajaan ialah untuk mempermudahkan bagi Rakyat dan untuk mencari jalan untuk memastikan simpanan KWSP dapat dipulihkan pada masa tersingkat setelah pandemik Cooviid berakhir,” ujarnya.

1 Comment

  1. Sy nk tanya bekenaan pegeluaran KWSP i sinar baru2 ni ada terkeluar dlm media sosal di mana pengurus KWSP yg mana tak lulus boleh menbuat rayuan di pejabat KWSP tampa dokomen dan tampa sebarang sarat. bila sy sampai di pjbt KWSP mcm2 pegawai KWSP tu mintak bila kami jelaskan bekenaan yg kami datang sbb boleh buat rayuan. Tampat sebarang sarat dan sebarang dokomen dan pegawai KWSP tanya balik dgn kami sapa yg ckp mcm tu dan kami telah tunjuk video yg keluar dlm media sosal yg boleh menbuat rayuan tampa dokumen kami dari pehak KWSP nk tahu apa masaalah mereka jadi mcm mana kami nk jelaskan belom masuk dlm pejabat dh di penrambat balik. Sy amat kecewa dgn krajaan sekarang ckp lain buat lain seolah2 rakyat kena tipu tak mcm negara india semua rakyat boleh megelua KWSP kepada rakyat nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*