
MALAYSIA: PETALING JAYA – Lima sektor dikenal pasti sebagai sektor ekonomi perlu iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor itu dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri.
“Sektor itu turut membekalkan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE), peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan,” katanya. – K! ONLINE
Arahan bekerja dari rumah berkuat kuasa sepanjang PKP
PETALING JAYA – Arahan bekerja dari rumah akan dikuatkuasakan bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai ‘essential services’ sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua majikan mesti mematuhi arahan itu untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi.
“Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan take away.
“Manakala bagi kawasan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, menurut Muhyiddin, perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.
Katanya, pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.
“Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer.
“Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Tinggal di rumah,” katanya. – K! ONLINE
Rentas negeri tidak dibenarkan
PETALING JAYA – Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan di kawasan PKP.
“Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuat kuasa pada pukul 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021.
“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam
10 kilometer radius sahaja,” katanya. – K! ONLINE
Leave a Reply