
MALAYSIA: Polis memburu suspek lelaki, Goh Leong Yeong yang melarikan diri sebaik dibebaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dalam kes Macau Scam, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek berusia 32 tahun itu dikehendaki bersabit siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Jvdi Terbuka.
“Suspek terbabit dalam penganjuran jvdi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Menurut rekod, suspek menetap di Blok 25B2-5-8, Miharja Condo, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Deputi Superintendan (DSP) Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Huzir berkata, orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Faizal Asuar di talian 017-3126411 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama semua pihak amatlah dihargai bagi membantu siasatan polis,” katanya
PELAN LICIK LOLOSKAN DIRI DALAM MASA DUA MINIT DIJELASKAN SECARA TERPERINCI
Seolah-olah dirancang dari awal dengan penuh teliti. Malah, kedudukan pagar keselamatan jenis anti-climb, jalan pintas dan susun atur sekitar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, diselidik terlebih dahulu.
Semua itu membolehkan dalang utama sindiket cuci duit atau pengubahan wang haram berusia 32 tahun terbabit melarikan diri tanpa disedari pihak berkuasa dalam kejadian jam 6.30 petang Ahad lalu.
Difahamkan, suspek yang mendakwa sebagai Datuk Seri itu meloloskan diri dengan bantuan tiga pengawal peribadinya yang bertindak cekap dalam tempoh kurang dua minit.
Dia sebelum ini ditahan SPRM pada 2 Oktober sebelum direman sehingga Ahad lalu susulan siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan artis.
Sumber berkata, dua daripada pengawal peribadi suspek berperanan sebagai ‘kuda’ bagi membolehkan suspek memijak belakang tubuh mereka untuk melepasi pagar setinggi hampir dua meter itu.
Menurutnya, seorang lagi pengawal peribadi suspek menyambutnya di luar pagar sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi.
Sumber itu berkata, terdahulu, sembilan suspek yang dilepas reman dibawa pulang ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk proses dokumentasi jaminan sekitar jam 6 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di pejabat SPRM, ramai anggota polis berkumpul di lobi utama bangunan.
“Ini menyebabkan semua suspek tidak mahu keluar dari kenderaan masing-masing. Ada kalangan ahli keluarga suspek juga hadir di lokasi untuk proses jaminan.
“Berlaku kekecohan di lobi utama bangunan SPRM apabila semua OKT (orang kena tuduh) enggan keluar dari kenderaan berikutan kehadiran ramai anggota polis di lobi Ibu Pejabat SPRM,” katanya.
Menurutnya, hasil perbincangan antara SPRM, polis dan peguam, polis akur dan bersetuju menunggu semua suspek di luar pintu utama Ibu Pejabat SPRM.
“Selepas selesai proses dokumentasi jaminan, semua OKT dibebaskan dan menaiki kenderaan masing-masing untuk keluar dari Ibu Pejabat SPRM.
“Ada empat kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire memasuki Ibu Pejabat SPRM bagi menjemput suspek yang melarikan diri.
“Setiap kenderaan yang melalui pintu pagar utama disekat dan suspek lain ditahan polis semula.Bagaimanapun, seorang suspek yang dibebaskan dengan jaminan diserahkan SPRM kepada peguam beliau,” katanya.
Menurutnya, suspek bergelar Datuk Seri terbabit masuk ke dalam Toyota Vellfire bersama peguam, pengawal peribadi dan pemandu.
“Dia masuk ke dalam kenderaan dan dilihat menuju ke pintu pagar utama.Bagaimanapun, dalam pergerakan antara pintu lobi dan pagar utama, suspek dipercayai keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke arah pagar sisi (berdekatan pintu belakang bangunan SPRM) dengan dibantu dua pengawal peribadi.
“Lokasi suspek melarikan diri terselindung di sebalik tempat penyimpanan gas. Suspek dikesan memijak belakang tubuh dua pengawal peribadinya untuk melepasi pagar berkenaan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek disambut seorang lagi pengawal peribadi yang menunggu di luar pagar.
“Sebuah Perodua Myvi menunggu di tepi jalan dan melarikan suspek.
“Apabila polis menahan Toyota Vellfire yang dinaiki suspek dan melalui pintu pagar utama, baru disedari suspek melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, tidak timbul isu kecuaian dan dakwaan ada pembabitan ‘orang dalam’ berikutan suspek ketika itu dibebaskan dengan jaminan.
“Pihak SPRM sentiasa memberi kerjasama baik dan membantu siasatan polis bagi memastikan kes berkenaan disiasat dengan rapi,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, individu yang melarikan diri itu bukan bergelar Datuk Seri seperti ditularkan ataupun dilaporkan.
Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan ratusan syarikat diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket pengubahan wang haram dikaitkan dengan perniagaan membabitkan artis dan selebriti.
SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya Ford Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.
Sebelum ini, SPRM turut dilaporkan memanggil pasangan selebriti untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram berkenaan.
Kredit:HmetroOnlinee
Leave a Reply