
MALAYSIA: Benarlah pepatah arab mengatakan “Man Jadda wa jadda” Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin, 32, mendedahkan kehidupan lalu yang serba kekvrangan membuatkan dia neekad berusaha mahu mengubah nasib keluarganya.
Mengimbau kenangan lalu, Mila berkata kehidupan keluarganya yang pernah hidup susah menyebabkan dia terus melupakan hasrat untuk menyambung pengajian di menara gading.
“Saya anak sulung dalam keluarga dan ibu bapa pula bekerja biasa dengan pendapatan kecil. Bapa saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan aktiviti lainnya, turut memungut tin di tepi jalan.
“Saya sendiri ada pengalaman ikut bapa pungut tin, memang kasihan. Ibu pula bekerja di kilang untuk bantu pendapatan bapa bagi menyara kami sekeluarga.
“Malah, pernah satu ketika atap rumah kami berlvbang, b0cor dan rosak akibat tak dapat diganti kerana tiada duit. Bila hujan, basah satu rumah dan itu sangat menyedihkan saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Mila, kehidupan yang susah itu banyak mengajarnya untuk bangk1t dan berusaha memajukan diri. Katanya, dia juga pernah bekerja di kilang sebelum menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007.
“Namun, kejayaan menjulang trofi juara AF5 sangat membantu saya untuk mengubah nasib keluarga. Dengan populariti diraih ketika itu, saya dapat memberi keselesaan pada ibu bapa dan adik-beradik.
“Apapun, saya terfikir juga sampai bila akan jadi penyanyi dan terus popular. Justeru, sedikit demi sedikit melalui simpanan dibuat, saya mula berniaga.
“Alhamdulillah, mujur bertemu suami saya, Isz Mustapha, ketika itu yang bertindak sebagai pengurus dan dia banyak membantu dengan mengajar saya selok-belok berniaga,” katanya.
Ujar Mila, dia mula berniaga secara kecil-kecilan selepas menyertai AF5 dan empayar perniagaannya dalam industri perkahwinan pula mula dibina sekitar 2013 lalu.
Jelasnya, kini dia bersyukur selepas tujuh tahun perniagaan Bizmilla dibina, ia sudah dikembangkan dengan tiga cawangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bharu.
Menurut Mila lagi, Bizmilla juga sekarang mempunyai 18 dewan yang boleh digunakan untuk majlis perkahwinan dengan menyediakan beberapa pakej menarik untuk pelanggan.
“Apapun, kejayaan dimiliki saya kini adalah atas doa ibu bapa dan usaha. Namun, saya juga berterima kasih kepada semua pekerja yang banyak membantu dan hingga kini masih setia bersama,” katanya.
Sehubungan itu, Mila juga dalam proses mengembangkan lagi perniagaannya di bahagian perkhidmatan pembelian dan penghantaran makanan secara dalam talian (online) yang bakal diperkenalkan.
Syarat Mila nyanyi kembali
Nama juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin pernah meniti di bibir peminat ketika lagunya Persis Mutiara dan Aku Lebih Tahu popular tidak lama dulu.
Lepas berumah tangga dan bergiat dalam perniagaan dewan perkahwinan, Mila, 31, seakan-akan menyepikan diri.
Hakikatnya, kata pemilik nama sebenar Noorsyarmilla Jirin ini, tidak mungkin dia melupakan bidang nyanyian kerana sudah sebati dengan dirinya.
“Saya akui rindu untuk aktif menyanyi kembali. Maklumlah, sudah lebih tiga tahun saya tidak masuk studio untuk merakamkan lagu baru. Saya berusaha memujuk suami (Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 39) supaya merestui saya menyanyi kembali.
“Dia meletakkan syarat saya muncul dengan lagu Islamik yang ada mesej baik untuk masyarakat. Selain itu, setiap sen yang diperoleh akan disalurkan kepada golongan memerlukan,” katanya.
Bercerita mengenai single terbaru, Mila memilih bekerjasama dengan komposer dari Jogjakarta, Indonesia, Sigit Baskara.
“Saya mengenali Sigit menerusi facebook kira-kira empat tahun lalu. Saya suka mendengar lagu kerohanian ciptaannya berjudul Fatamorgana, nyanyian Kumpulan The Q. Lagu itu sudah ditonton lebih 2 juta pelayar laman Youtube.
“Bagi menghasilkan single baru, saya bersama suami dan anak, Mohd Arif Zikri ke Jogjakarta awal Mac lalu untuk merakamkan tiga lagu dan video muzik.
“Single pertama berjudul Adam & Hawa ciptaan Sigit sepenuhnya. Ia sudah dilancarkan pada 13 April lalu,” katanya.
Mila berkata, kerja merakam tiga lagu itu dilakukan di studio milik pemain gitar Kumpulan Sheila On 7, Eross Candra.
“Proses rakaman sangat mencabar apabila anak saya kerap merengek kerana baru tumbuh gigi. Dia tak mahu berenggang dengan saya.
“Sepatutnya rakaman tiga lagu boleh disiapkan dalam sehari tetapi saya kepenatan hingga terpaksa sambung keesokannya. Istimewa apabila suami saya turut tampil dalam video itu,” katanya.
Mengenai lagu Adam & Hawa, kata Mila, ia dijadikan single pertama kerana liriknya menyentuh hati.
“Lirik lagu ini diterjemahkan menerusi al-Quran yang menceritakan pertemuan Nabi Adam dan isterinya, Hawa selepas 200 tahun terpisah.
“Saya lihat Sigit memiliki ilmu seni yang halus. Dia menafsir al-Quran untuk menghasilkan lirik lagu Adam & Hawa,” katanya.
Penyanyi kelahiran Pulau Pinang ini juga menimba pengalaman berbeza apabila bekerja dengan produser dari negara jiran itu.
“Sigit memberikan kebebasan kepada saya untuk mewarnai lagu dan mahu saya menyanyi dari hati. Dia hanya tegur jika ada kekvrangan dari segi vokal. Caranya berbeza dengan komposer Indonesia lain yang bekerjasama dengan saya sebelum ini,” katanya.
Ditanya pemilihan lokasi pula, Mila menjelaskan penggambaran tiga video muzik itu dilakukan di padang pasir di gumuk pasir Parangkusumo dan Pantai Parangtritis di Jogjakarta yang menghadap Lautan Hindi.
“Terus terang, saya sendiri terpukau dengan keindahan lokasi penggambaran video muzik ini. Saya terkejut melihat perkampungan yang penghujungnya adalah padang pasir.
“Kami juga memilih lokasi penggambaran di pantai yang pemandangannya tidak ubah seperti Pulau Bali dan lebih menakjubkan, pasirnya hitam,” katanya.
Misi projek amal
Sejak awal pembabitan dalam bidang nyanyian, Mila sering terbabit dalam kerja amal. Jika dulu dia hanya menyumbangkan suara, kali ini dia sudah mampu menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit kepada golongan yang mahu dibantu.
Pengusaha Bizmilla Catering yang juga jutawan ini menghasilkan lagu baru bukan untuk meraih keuntungan sebaliknya untuk menjayakan misi amal.
Kata Mila, setiap sen yang diperoleh akan disalurkan kepada Unit Salam, Muslim Volunteer Malaysia.
“Saya memilih Unit Salam, Muslim Volunteer Malaysia untuk menyalurkan dana kerana tersentuh dengan kempen mereka. Unit Salam menyalurkan derma untuk kanak-kanak yang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan dana segera.
“Selepas bergelar ibu, hati saya mudah tersentuh melihat kanak-kanak terlantar sakit tetapi kekvrangan duit untuk pembedahan atau rawatan. Syarikat saya juga menaja sepenuhnya rakaman dan penggambaran video muzik projek amal ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mila wajar berbangga dengan kejayaan beberapa rangkaian perniagaan yang diusahakannya seperti restoran, dewan perkahwinan, penyediaan makanan dan busana pengantin.
Mila memiliki rangkaian luas dalam industri perkahwinan termasuk lapan dewan perkahwinan di Subang dan Cheras. Dewan perkahwinan terbarunya akan dibuka di Kajang pada Ogos depan.
Leave a Reply