PKPP disambung atau tidak keputusannya malam ini – Perutusan khas Perdana Menteri

PKPP disambung atau tidak keputusannya malam ini - Perutusan khas Perdana Menteri

MALAYSIA: Sudah pasti ramai tertunggu-tunggu pengumuman rasmi Yang Amat Behormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini sama ada kerajaan mahu meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (Pemulihan) atau menamatkannya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas, malam ini berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan tamat tiga hari lagi.

Muhyiddin dijadualkan menyampaikan ucapan pada 8 malam dan ia akan disiarkan di semua platform RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani.

Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kerajaan kemudian mula melonggarkan PKP pada 4 Mei, dengan mengumumkan PKP bersyarat (PKPB) yang kemudian beralih ke PKPP bermula 10 Jun lalu.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan mengesyorkan PKPP dilanjutkan sehingga jangkitan Covid-19 di negara ini terkawal selepas ia akan tamat pada 31 Ogos ini.

Menteri Kesihatan Datuk Sri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu majoriti pembaca Harian Metro yang menyertai undian sama ada wajarkah PKPP dilanjutkan selepas berakhir 31 Ogos ini di Facebook dan Twitter bersetuju ia wajar dilanjutkan.

Seramai 13,957 orang menyertai undian di Facebook dengan 12,013 membuat undian wajar sementara 1,944 tidak wajar disambung PKPP.

Melalui undian di laman Twitter pula 81.3 peratus daripada 1,443 yang membuat undian bersetuju ia disambungkan sementara 18.7 peratus tidak bersetuju.

Esok ke Sabah

Manakala esok dijangka Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sabah bermula esok.

Ia lawatan sulung beliau ke negeri ini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) akhir Februari lalu.

Beliau dijadual menghadiri tujuh program, masing-masing enam di ibu negeri dan satu di Sandakan.

Program pertama beliau ialah mendengar taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah di Alam Mesra, Kota Kinabalu, pada 11.15 pagi, esok.

Taklimat tertutup itu dijangka disampaikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Hajiji Noor.

Selesai program berkenaan, Muhyiddin dijadual menghadiri program Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan negeri di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat pada 12 tengah hari.

Pada sebelah petang, beliau turut dijadual menghadiri perhimpunan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 3.30 petang.

Muhyiddin turut dijadual menghadiri Majlis Sepetang Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri di SICC pada 5.15 petang.

Program Perdana Menteri esok diakhiri dengan Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah di Sipadan Hall II dan III, Aras 4, SICC pada 7.45 malam.

Pada Ahad, Muhyiddin dijadual menghadiri program Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Penjawat Awam di Dewan Angsana, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah pada jam 10.30 pagi.

Beliau kemudian dijadual berlepas ke Sandakan untuk menghadiri program Perjumpaan Pimpinan Masyarakat bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Hakka, Sandakan pada 1.30 tengah hari.

Sempena lawatannya, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dijangka membuat beberapa pengumuman mengenai persediaan gabungan itu menghadapi PRN Sabah, bulan depan, termasuk berkaitan PN Sabah.-

Ikuti kami di Channel Telegram Malaysia Terkini klik: https://t.me/malaysiaupdate24

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*