Malaysia
Perangai tak ubah seperti Pembangkang, Rafizi hanya layak jadi ‘Menteri Persepsi’
Kenyataan semberono Rafizi Ramli berhubung pertemuan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu, jelas menunjukkan dia masih bermain dengan politik persepsi walaupun telah menjadi Menteri Ekonomi kerajaan PH-BN.
Jika melihat klip video perbahasan di Dewan Rakyat, Isnin lalu (19 Disember 2022), dapat diperhatikan dengan jelas gaya dan ungkapannya ketika mengulas isu dibangkitkan ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin itu, adalah caranya untuk menarik perhatian.
Meninggikan suara di dalam Dewan Rakyat ketika mengulas sesuatu isu bukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh seorang menteri dalam kerajaan terdahulu.
Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu pun, tiada menteri daripada DAP yang meninggikan suara menjawab isu dibangkitkan Barisan Nasional (BN) yang ketika itu menjadi pembangkang. Rafizi patut belajar lagi daripada ‘isteri baharunya’ UMNO.
Namun, cara ahli Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden PKR ketika mengulas pertemuan Shukri dan Anwar itu, sambil meninggikan suara, dilihat seperti menunjukkan kesombongan dan keterujaannya untuk berucap dalam Parlimen setelah menjadi kerajaan.
Malah, dengan gembiranya dia seolah-olah mengatakan Kerajaan Perlis di bawah pentadbiran Perikatan Nasional – kini menjadi pembangkang di Dewan Rakyat – merayu bantuan Kerajaan Pusat pimpinan PH-BN.
Apa yang Rafizi sebut?:
“Wakil dari kerajaan negeri yang pertama yang datang berjumpa Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) bukan daripada Pakatan (Harapan), bukan daripada Barisan Nasional…
“(Meninggikan suara)… daripada Perikatan Nasional daripada Perlis. Baru jadi ambil alih kerajaan datang berjumpa Menteri Kewangan meminta komitmen supaya dapat bagi bantuan kewangan daripada Pusat…
“Yang pertama sekali datang jumpa untuk minta bantuan kewangan bukan daripada Barisan Nasional… bukan daripada GPS (Gabungan Parti Sarawak)… bukan daripada Perikatan… tapi yang di bawah Perikatan Nasional,” katanya.
Jelas daripada kenyataan itu, Rafizi mahu memalukan dan menunjukkan kepada rakyat, bahawa kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional tanpa rasa segan terpaksa merayu bantuan daripada kerajaan PH-BN.
Sebaliknya, apa yang berlaku sebagaimana penjelasan Shukri ialah Kerajaan Perlis dijemput oleh Anwar sendiri untuk mengadakan pertemuan.
Dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam, Shukri berkata pertemuannya dengan Anwar bagi memenuhi undangan daripada Perdana Menteri setelah Perlis kini ditadbir oleh Perikatan Nasional.
“Apabila saya melihat perbahasan dalam sidang Parlimen semalam, Rafizi ada menyebutkan hal berkenaan dalam perbahasan. Saya rasa kesal kerana ia bagaikan satu penghinaan kepada rakyat Perlis yang memilih PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
“Saya hadir berjumpa Perdana Menteri pun dalam suasana mesra dan lebih banyak membincangkan mengenai perkembangan semasa dan pembangunan di Perlis,” kata Shukri.
Beliau turut kesal dengan kenyataan Rafizi yang mempolitikkan pertemuan itu yang memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Perikatan Nasional Perlis sedang ‘meminta sedekah’ daripada Kerajaan Persekutuan.
Malah, Shukri juga kesal kerana Rafizi tidak dapat membezakan antara pentadbiran kerajaan dan parti politik.
Lebih baik Rafizi jadi ‘menteri persepsi’ kerana rakyat bimbang angka-angka ekonomi yang akan diberikannya pada masa depan hanyalah satu persepsinya sahaja.
Sumber: Ketua Pengarang
Agenda Daily
MoU sokong kerajaan Anwar hapus autonomi seorang Ahli Parlimen: Bersih
Autonomi seorang Ahli Parlimen (MP) dibimbangi akan terhapus selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pemimpin-pemimpin parti bagi memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal berkuasa baru-baru ini, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Bersih menyifatkan klausa dalam Perkara 4(d) akan mengancam autonomi yang dimiliki seorang MP mengikut Perlembagaan negara dan boleh dianggap sebagai memaksa seseorang wakil rakyat itu supaya mengikut telunjuk partinya walaupun mempunyai pandangan berbeza.
“Bersih amat bimbang dengan Perkara 4(d) yang menyatakan bahawa “(pihak-pihak dalam perjanjian) mempunyai hak prerogatif tunggal dalam memastikan Ahli Dewan Rakyat mengundi semua usul, terutamanya berkaitan keyakinan dan perbekalan oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia, berdasarkan arahan parti masing-masing.
“Meneruskan ‘semua usul’, dan bukan hanya soal keyakinan dan perbekalan, mengancam menghapuskan semua autonomi Ahli Parlimen dalam mengundi. Dengan kerajaan majoriti dua pertiga, ia akan memberi kebebasan penuh untuk meminda Perlembagaan.
“Bersih menggesa mana-mana pihak yang berhasrat untuk meminda perlembagaan parti mereka supaya mengehadkan kebebasan mengundi Ahli Parlimen kepada usul keyakinan dan perbekalan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Bersih berkata klausa dalam MoU kerajaan Anwar berhubung pemecatan seorang MP itu hanya terpakai sekiranya terdapat peruntukan dalam perlembagaan parti yang mengatakan wakil rakyatnya perlu mengosongkan kerusi jika tidak mengikut arahan ketetapan diputuskan sesebuah parti itu.
“Perkara 4(b) seterusnya menyatakan hasrat lain bahawa parti-parti mesti memastikan bahawa Ahli Parlimen mereka yang enggan, enggan atau tersilap mengundi dengan sewajarnya akan dianggap sebagai sudah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi ahli parti, yang akan menyebabkan kerusi mereka menjadi kosong di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Hasrat itu hanya boleh menjadi kenyataan jika perlembagaan parti memperuntukkan kegagalan, keengganan dan kesilapan dalam keyakinan dan pengundian perbekalan menjadi alasan seorang Ahli parlimen tidak lagi menjadi ahli parti, seperti dalam kes DAP dan Amanah.
“Sebagai alternatif, parti tersebut perlu mempunyai instrumen lain yang mengikat di sisi undang-undang yang boleh menyebabkan kesan yang sama,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar mengetuai Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan WARISAN, bagi memastikan kerajaan campurannya kekal berkuasa, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana MP daripada parti yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil.
MoU yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar minggu depan, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap MP masing-masing yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.
-
Malaysia4 years ago
Pendedahan Mangsa buli Dirab4, Ibu mangsa Saman Sekolah dan Tuntut RM2 Juta
-
Malaysia4 years ago
Pembayaran I-Lestari untuk bulan Jun telah bermula, Cara membuat Semakan dan Permohonan
-
Bantuan4 years ago
Bantuan RM50 ‘E-Wallet’ akan dikreditkan bermula 1 Julai – Perdana Menteri
-
Malaysia4 years ago
Tarikh rayuan Bantuan GKP sebanyak RM3000 dibuka, Cara membuat Rayuan
-
Malaysia4 years ago
Tiada bukti duit RM42 juta pindah ke akaun peribadi Najib, Kes Digugurkan
-
Malaysia4 years ago
Cara membuat permohonan Bantuan JKM bagi Ibu Tunggal, Kanak-kanak, Warga emas dan OKU (Semak Status)
-
Malaysia4 years ago
Thailand gelar skuad Harimau Malaya sebagai “Johor National Team”
-
Malaysia4 years ago
SAH Pasar Malam, Gunting Rambut dibenarkan oleh kerajaan