
MALAYSIA: Polis mengesahkan dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram baru-baru ini, tidak terbabit dalam kegiatan penipuan atau Macau Scam di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenyah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati, dua lelaki terbabit iaitu Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong@Alvin berperanan sebagai koordinator atau ejen untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan yang dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet.
“Pusat panggilan yang beroperasi di unit kediaman mewah dan pejabat itu menjalankan operasi harian dengan menyasarkan rakyat di China sebagai mangsa aktiviti perjuudian, penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) dan penipuan pembelian barang serta tuntutan barang seperti scam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, dakwaan pihak tertentu mengaitkan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini dengan dua individu terbabit adalah tidak tepat.
“Kegiatan penipuan dalam negara dilakukan sindiket penipuan lain. Dakwaan pihak tertentu yang menganggap kegiatan penipuan dalam talian di negara ini membabitkan dua individu itu adalah tidak tepat,” katanya.
“Dakwaan mengatakan Addy Kanna akan dibebaskan juga tidak tepat kerana individu itu sedang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenyah (POCA) bersama dua lagi individu.
“Kita juga masih mengesan Alvin yang melarikan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 11 Oktober lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbualan telefon penipuan dalam talian oleh seorang lelaki yang mendakwa ahli kepada rangkaian kumpulan Addy Kanna yang tular sejak minggu lalu.
Menerusi perbualan selama 13 minit 34 saat, lelaki itu mendakwa Addy Kanna akan dilepaskan secara mudah disebabkan jaringan hubungan dengan pemimpin politik.
Pada awal perbualan, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang mendakwa mangsa ada membuat penghantaran barang ke sebuah pejabat pos di Sabah.
Bagaimanapun, mangsa dapat menghidu taktik lelaki itu yang menipunya dan memberikan butiran peribadi yang tidak tepat sehingga menimbulkan kemarahan lelaki berkenaan.
Kedua-duanya mula berbual secara baik selepas mangsa meminta maaf kerana memarahi lelaki yang cuba menipunya secara dalam talian atau Macau Scam.
Lelaki itu turut menjelaskan kegiatan penipuan yang dijalankan rangkaian mereka menjana pendapatan lumayan sehingga puluhan dan jutaan ringgit kerana sikap mangsa yang tidak berhati-hati.
Sementara itu, Huzir berkata, pihaknya akan mendedahkan butiran kegiatan penipuan oleh dua individu tersebut dalam masa terdekat bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat tempatan.
Polis dedah gambar suspek lompat pagar SPRM
Polis memburu suspek lelaki, Goh Leong Yeong yang melarikan diri sebaik dibebaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dalam kes Macau Scam, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jnayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek berusia 32 tahun itu dikehendaki bersabit siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Juudi Terbuka.
“Suspek terbabit dalam penganjuran juudi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Menurut rekod, suspek menetap di Blok 25B2-5-8, Miharja Condo, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenyah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Deputi Superintendan (DSP) Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Huzir berkata, orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Faizal Asuar di talian 017-3126411 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama semua pihak amatlah dihargai bagi membantu siasatan polis,” katanya
Seolah-olah dirancang dari awal dengan penuh teliti. Malah, kedudukan pagar keselamatan jenis anti-climb, jalan pintas dan susun atur sekitar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, diselidik terlebih dahulu.
Semua itu membolehkan dalang utama sindiket cuci duit atau pengubahan wang haram berusia 32 tahun terbabit melarikan diri tanpa disedari pihak berkuasa dalam kejadian jam 6.30 petang Ahad lalu.
Difahamkan, suspek yang mendakwa sebagai Datuk Seri itu meloloskan diri dengan bantuan tiga pengawal peribadinya yang bertindak cekap dalam tempoh kurang dua minit.
Dia sebelum ini ditahan SPRM pada 2 Oktober sebelum direman sehingga Ahad lalu susulan siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan artis.
Sumber berkata, dua daripada pengawal peribadi suspek berperanan sebagai ‘kuda’ bagi membolehkan suspek memijak belakang tubuh mereka untuk melepasi pagar setinggi hampir dua meter itu.
Menurutnya, seorang lagi pengawal peribadi suspek menyambutnya di luar pagar sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi.
Sumber itu berkata, terdahulu, sembilan suspek yang dilepas reman dibawa pulang ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk proses dokumentasi jaminan sekitar jam 6 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di pejabat SPRM, ramai anggota polis berkumpul di lobi utama bangunan.
“Ini menyebabkan semua suspek tidak mahu keluar dari kenderaan masing-masing. Ada kalangan ahli keluarga suspek juga hadir di lokasi untuk proses jaminan.
“Berlaku kekecohan di lobi utama bangunan SPRM apabila semua OKT (orang kena tuduh) enggan keluar dari kenderaan berikutan kehadiran ramai anggota polis di lobi Ibu Pejabat SPRM,” katanya.
Menurutnya, hasil perbincangan antara SPRM, polis dan peguam, polis akur dan bersetuju menunggu semua suspek di luar pintu utama Ibu Pejabat SPRM.
“Selepas selesai proses dokumentasi jaminan, semua OKT dibebaskan dan menaiki kenderaan masing-masing untuk keluar dari Ibu Pejabat SPRM.
“Ada empat kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire memasuki Ibu Pejabat SPRM bagi menjemput suspek yang melarikan diri.
“Setiap kenderaan yang melalui pintu pagar utama disekat dan suspek lain ditahan polis semula.
“Bagaimanapun, seorang suspek yang dibebaskan dengan jaminan diserahkan SPRM kepada peguam beliau,” katanya.
Leave a Reply