KWSP arah sebahagian Pencarum Pulang Selepas Berseesak di Pejabat

KWSP arah sebahagian Pencarum Pulang Selepas Berseesak di Pejabat

MALAYSIA: ALOR SETAR – Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Alor Setar di sini diserbu orang ramai untuk urusan pendaftaran i-Akaun sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka diminta pulang.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 2 petang tadi mendapati hanya mereka yang mendapat nombor giliran sahaja dibenarkan masuk berurusan dalam pejabat.

Seorang pengunjung, Aminah Ismail, 40, berkata, dia hadir ke pejabat KWSP hari ini bagi mengaktifkan i-Akaun sebelum membuat permohonan secara dalam talian.

“Ingatkan datang waktu sekarang orang tak ramai. Rupanya nombor giliran pun dah habis. Pengawal keselamatan suruh datang semula esok pagi,” katanya yang merupakan seorang suri rumah sejak tahun 2006.

Seorang lagi pengunjung, Nor Azlin Hambali, 34, berkata, dia hadir bersama suaminya untuk mendapatkan penjelasan mengenai statusnya sama ada layak atau sebaliknya bagi memohon i-Sinar untuk kategori satu.

“Saya merupakan seorang suri rumah sejak beberapa tahun lalu, tetapi ada beberapa kemusykilan yang timbul. Jadi saya ambil keputusan untuk datang bertanya sendiri di kaunter.

“Kalau layak, saya boleh terus mohon secara dalam talian. Tapi tengok hari ini ramai sangat orang dan ada yang diarahkan pulang sebab tidak dibenarkan masuk,” katanya yang berasal daripada Simpang 4 Kangkong di sini.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata, mereka yang tidak mendapat nombor giliran diminta hadir semula pada jam 8.30 esok.

Pencarum yang hadir juga diberikan kertas panduan mengenai cara memohon i-Sinar secara dalam talian untuk memudahkan mereka.

Permohonan i-Sinar dibuka Semalam

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan permohonan i-Sinar dalam talian dibuka bermula hari ini.

Bagi tujuan itu, terdapat dua kategori kriteria kelayakan untuk memohon i-Sinar.

Bagi kategori 1, semua pemohon layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP, ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my dan pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.

Kategori 2 pula meliputi ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas, termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu penyata gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.

Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan dan ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.

Tambah KWSP, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat dan pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Dalam pada itu, KWSP berkata jumlah kelayakan untuk mengeluarkan wang dari i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini.

Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1 dengan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Sehubungan itu, ahli KWSP digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima transaction authorisation code (TAC) di kiosk atau kaunter KWSP dan memastikan nombor akaun bank adalah aktif.
Seramai lapan juta ahli KWSP layak memohon i-Sinar.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*