
MALAYSIA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus.
Saranan ini dibuat kerana KPT amat prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat dengan peningkatan kes CoV-19 yang berlaku selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.
KPT berkata, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.
Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal/ bersemuka pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.
”Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing. Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini.
”Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing,” katanya.
KPT juga mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan semua program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus.
Malah, KPT telah mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar pulang ke kampus khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT masing-masing.
Hasil rundingan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember 2020.
Ujarnya, keprihatinan dan kepekaan daripada semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik CoV-19 ini. – MalaysiaGazette
Sebelum ini Hantar Pulang Pelajar IPT
Pada bulan April yang lalu, Kerajaan akan membenarkan pergerakan penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) termasuk di Sabah dan Sarawak bermula Isnin ini secara berperingkat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penghantaran pulang itu dijangka membabitkan kira-kira 85 peratus atau 53,000 pelajar dan hanya membabitkan kepulangan ke kawasan zon hijau dengan perjalanan dibuat dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan besar pada waktu siang.
Penghantaran pulang itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa, membabitkan penuntut yang tinggal di kolej dan kampus kediaman serta yang duduk menyewa di luar kampus dengan kos penghantaran ditanggung oleh kerajaan.
Pelajar ini juga akan menjalani saringan geejaala CoV-19 walaupun sudah lebih sebulan berada di kampus sebelum menaiki bas walaupun tiada gejaala dan mereka akan dibekalkan dengan makanan dan topeng muka.
“Mereka yang gunakan bas akan dihadkan dan dipastikan dari segi penjarakan sosial. Kalau tempat duduk untuk dua orang hanya boleh digunakan seorang, bermakna kalau bas itu untuk 40 penumpang, hanya 20 penumpang dibenarkan,” katanya pada sidang media harian PKP, di sini hari ini.
Susulan pengumuman perlanjutan tempoh PKP fasa ketiga hingga 28 April pada 10 April lalu, gabungan beberapa persatuan mahasiswa menggesa kerajaan membenarkan penuntut yang masih berada di kampus pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.
Kerajaan bagaimanapun pada 13 April lalu memutuskan semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang masih berada di kampus tidak dibenarkan pulang ke rumah atau kampung masing-masing sepanjang PKP berkuat kuasa.
Namun pada Selasa lalu, kerajaan sedia membenarkan kira-kira 100,000 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara yang berada di kampus, seolah-olah mereka sedang di kuarantin untuk pulang ke rumah masing-masing.
Ismail Sabri berkata, pelajar akan diambil dari kampus dengan bas dan terus dibawa ke daerah masing-masing serta dihantar ke balai polis atau pejabat daerah sebelum barisan hadapan di sana menghantar mereka terus ke rumah.
Pelajar yang memiliki kenderaan sendiri juga dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan mereka hanya memandu seorang sahaja.
“Bagi pelajar yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak, penerbangan akan diseliakan dan pendaratan akan dibuat ke lapangan terbang terdekat dengan kawasan tempat tinggal mereka.
“Berdasarkan SOP ditetapkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, pelajar dari Semenanjung akan dikuarantin wajib selama 14 hari sebelum boleh pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Sementara itu, institusi pendidikan bukan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian itu bagi penghantaran pulang pelajar mereka ke rumah masing-masing.
Ismail Sabri berkata, pihaknya turut membenarkan kementerian lain yang mempunyai institusi pendidikan contohnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah tetapi SOP perlu mengikut ketetapan KPT.
“Contohnya UniKL adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah jadi kita membenarkan kementerian lain menguruskan untuk membawa pelajar pulang mengikut kementerian masing-masing dengan SOP KPT.
“KPT akan memaklumkan secara lebih lanjut dari segi pergerakan, zon mana dahulu, …kita tunggu pengumuman KPT yang lebih terperinci, ” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan akan tetap menanggung bekalan makanan kepada 15 peratus penuntut IPT yang memilih untuk tidak pulang ke rumah masing-masing.
“Kita dapat maklumat, ada penuntut yang tak berminat pulang kerana mungkin akan menduduki peperiksaan. Ada juga pelajar yang belajar dalam talian di universiti ketika ini.
“Mereka tidak mahu pulang kerana mungkin di kampung tidak ada internet untuk mengulang kaji. Yang tinggal di kolej ini, kita akan tanggung makan dan minum mereka seperti biasa,” katanya.
Leave a Reply