
MALAYSIA: Pada hari ini telah menjadi topik utama akhbar tempatan yang mengatakan bahawa Anwar Ibrahim berjaya mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.
Yakin punya majoriti
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Anwar dalam sidang media khas hari ini berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantvng Negara (IJN).
“Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda Selasa pada jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawaatan di IJN.
“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh,” katanya.
Katanya, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas menghadap YDPA dalam masa terdekat.
“Pentadbiran ini mewakili bukan saja rakyat Melayu Bumiputera tetapi semua kaum di negara ini,” katanya.
Ditanya jumlah sokongan diperoleh, Anwar enggan mendedahkan sebaiknya mengulang pendirian memperoleh majoriti yang kukuh daripada pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.
“Konklusif, kuat dan kukuh, saya bukan bercakap mengenai 4,5,6 sokongan tetapi hampir dua pertiga ahli parlimen pelbagai parti.
“Dokumen ini tetap tidak boleh diragui, semuanya akan dimaklumkan sebaik menghadap Agong,” katanya.
Ditanya sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad ada dalam senarai itu, Anwar berkata, bekas Perdana Menteri itu tiada dalam senarai.
“No (tiada), buat masa ini tiada,” katanya.
Anwar turut ditanya adakah terdapat pemimpin PKR yang berpaling tadah dan menyertai parti lain.
“Dalam senarai saya tidak nampak,” katanya.
‘Saya persilakan dia untuk bekerjasama’ – Anwar pelawa Muhyiddin sertai gabungan
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mempelawa’ Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan gabungan beliau.
Menurut Anwar, beliau tiada masalah peribadi dengan Muhyiddin dan mempersilakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu untuk bekerjasama.
“Tan Sri Muhyiddin, sekarang ini, dengan jumlah ini, jatuh sebagai perdana menteri.
“Saya persilakan dia untuk bekerjasama. Saya tiada masalah peribadi dengan beliau.
“Kesediaan dia bekerjasama akan membantu supaya perubahan, peralihan itu aman dan teratur.
“Seandainya beliau bersedia, beliau boleh bersedia berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai,” katanya dalam sidang media tergempar di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu.
Leave a Reply