Kerajaan perpaduan ‘Perdana Menteri Anwar’ akan bawa kestabilan – Ahli Ekonomi

Kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemudi negara ke arah kestabilan politik yang lebih baik yang akan membolehkan negara terus berkembang maju dan menarik pelaburan asing.

Profesor Madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata tidak akan ada lagi ruang bagi parti politik lain untuk cuba menumbangkan kerajaan sekarang kerana ia telah diberi mandat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengalaman Anwar sebagai Menteri Kewangan akan membawa kesan positif di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi melangkah ke 2023, katanya.

“Beliau ada pengalaman dalam menguruskan kewangan negara ketika beliau menjadi menteri kewangan dari 1991 hingga 1998 apabila purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh 1991 hingga 1997 adalah pada 9.23 peratus.

“Konsep kerajaan perpaduan ini juga mencerminkan kestabilan dan ia akan meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya kepada Bernama.

Ahmed Razman berkata Anwar dijangka memastikan inisiatif dan langkah-langkah berpaksikan rakyat dilaksanakan bersama dengan strategi konsolidasi fiskal.

Mengenai pertumbuhan ekonomi negara, beliau melahirkan keyakinan Malaysia akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan KDNK pada 6.5- peratus tahun ini.

“Ia akan dibantu oleh pertumbuhan KDNK yang tinggi dalam Suku Ketiga. Jika nilai Suku Keempat KDNK sama dengan nilai Suku Ketiga, maka barulah kita akan mencapai sasaran itu,” katanya.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada Suku Ketiga tahun ini disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan pasaran buruh, prestasi kukuh elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport bukan E&E dan sokongan dasar yang berterusan.

Pertumbuhan tahun penuh 2022 dijangka melepasi tujuh peratus.

Tiada lagi ketidaktentuan politik negara

Sementara itu, Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pengumuman yang begitu dinanti-nantikan itu juga akan menamatkan segala ketidaktentuan yang menyelubungi pasaran kerana Anwar juga terkenal dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“Beliau memiliki pengetahuan meluas dalam ekonomi dan akan menumpu untuk melakukan pembaharuan yang akan menarik pelabur. Ia juga akan memberi impak baik kepada sentimen pelabur dan prestasi ringgit.

“Penjualan dalam saham judi dan arak serta saham perbankan di Bursa Malaysia dijangka mendapat rangsangan daripada berita nii dan ia akan memberi impak positif kepada pasaran.

“Selepas ini kita akan melihat kepada dasar ekonomi jangka panjang dan berwibawa daripada pentadbiran Anwar,” kata Williams.

Bursa Malaysia meningkat kukuh secara berterusan kepada hampir paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan hari ini, dengan indeks utama melonjak sebanyak 4.04 peratus, didorong sentimen pasaran yang amat positif susulan wujudnya kejelasan dalam senario politik tempatan ditambah dengan perkembangan luaran yang memberangsangkan sekali gus menjana minat risiko dalam kalangan pelabur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 58.38 mata untuk mengakhiri dagangan hari ini pada 1,501.88, daripada 1,443.50 semasa ditutup pada Rabu.

Sementara itu, ringgit meningkat 1.8 peratus untuk ditutup ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS.

Pada 6 petang, unit tempatan melonjak ke paras 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada paras 4.5725/5775 pada Rabu.

Cabaran dan Pembaharuan

Beliau berkata cabaran serta-merta yang dihadapi Anwar adalah untuk memastikan satu belanjawan berwibawa yang mengutamakan usaha melindungi pertumbuhan tahun depan dan mengekalkan inflasi rendah.

Anwar juga perlu memulakan agenda pembaharuan yang menekankan sosial dan ekonomi seperti pencen, perlindungan sosial, mengurangkan aktiviti kartel, memperkukuh daya saing, mengalakkan pelaburan swasta selain membantu perusahaan kecil dan sederhana.

“Mereka akan membuat satu belanjawan baharu kerana Bajet 2023 (yang telah dibentangkan) adalah bajet sebelum pilihan raya. Kini, kita memerlukan belanjawan untuk melindungi pertumbuhan tahun depan dan membantu mengawal inflasi supaya kita tidak perlu menaikkan lagi kadar faedah.

“Dalam kerajaan perpaduan, mereka boleh mendapat manfaat dengan mengambil buah fikiran terbaik daripada manifesto parti-parti lain juga sebagai cara membentuk keyakinan dan konsensus,” katanya.

Williams berkata kerajaan perpaduan sebenarnya adalah bentuk kerajaan yang paling lazim dalam demokrasi, kecuali United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (US), namun kebanyakan negara Eropah perlu membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya.

Justeru, beliau berpendapat kerajaan perpaduan boleh berfungsi di Malaysia.

Penyelidikan oleh Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan penerusan kecenderungan dasar semasa yang lazim termasuk properniagaan, perlindungan terhadap industri tempatan, perniagaan seperti biasa bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sokongan fiskal yang kukuh kepada ekonomi dengan pemberian tunai, subsidi bahan api dan makanan, serta rangsangan aktiviti ekonomi melalui pelaburan.

“Kami terus menyokong pelabur untuk mencari perlindungan di bank, syarikat telekomunikasi, pembuat atau pengedar kenderaan, peruncit pasaran pertengahan dan pembinaan kerana kami percaya kerajaan perpaduan akan menyokong penggunaan domestik.

“Justeru, kami menaikkan sasaran bagi FTSE Bursa Malaysia KLC (FBM KLCI) untuk akhir tahun ini kepada 1,500 mata berbanding 1,450 mata,” menurut bank pelaburan itu.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen manakala Perikatan Nasional (PN) menguasai 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (tiga) manakala satu kerusi masing-masing dimenangi oleh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua kerusi dimenangi oleh dua wakil Bebas. – BERNAMA

Kestabilan politik perkukuh ekonomi, keyakinan pelabur

Kestabilan politik akan menambahkan lagi kekuatan kepada ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur kepada Malaysia, kata Ketua Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed.

“Kestabilan politik adalah sebahagian daripada kestabilan makroekonomi dan ia telah tertanam dalam persamaan. Ia mungkin pembolehubah yang paling penting dalam kalkulus makroekonomi.

“Ia bukanlah lagi rahsia yang mana pelabur global juga menghargai negara yang memiliki kerajaan stabil dengan rangka kerja dasar yang kukuh.

“Rakyat mempunyai keyakinan pada kerajaan yang stabil dengan mendapat mandat yang kuat untuk menjalankan ekonomi dan memenuhi jangkaan pihak-pihak berkepentingan bagi memanfaatkan hasil ekonomi yang boleh meningkatkan taraf hidup dan tahap pendapatan,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Pembuat dasar yang berpengalaman juga akan menambah nilai kepadanya, kata beliau.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, berkata kerajaan yang stabil sentiasa diutamakan dalam membina keyakinan di semua peringkat.

“Sekiranya ketidaktentuan politik mula menjadi nyata atau berlakunya titik perubahan yang boleh menghalang proses perundangan, kerajaan boleh memulakan ‘confidence-and-supply agreement’ bagi memastikan jentera kerajaan berjalan lancar.

“Ia adalah strategi yang terbukti sepanjang pentadbiran Perdana Menteri\, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Shan berkata, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang agak baik dari segi vaksinasi kepada rakyat dan ia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan-badan penjagaan kesihatan yang lain.

Beliau berkata, pembukaan sempadan oleh kerajaan juga juga adalah langkah bijak memandangkan 98 peratus penduduk telah mendapat vaksin dan Malaysia mendahului jirannya di selatan dan utara.

“Pembukaan sempadan menghantar isyarat positif kepada pasaran bahawa rakyat dan ekonomi Malaysia bersedia untuk perniagaan memulakan momentum ekonomi pada kadar yang lebih pantas bagi mencapai pemulihan ekonomi yang diingini,” katanya.

Firdaos berkata, ekonomi pada tahun ini bersedia untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada suku ketiga 2022 setelah mencatatkan pertumbuhan cemerlang kepada 14.2 peratus daripada 8.9 peratus pada suku kedua dan 5.0 peratus pada suku pertama hasil daripada pembukaan semula sempadan sejak 1 April 2022.

Kedudukan yang lebih kukuh untuk suku ketiga 2022 disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh dalam pasaran buruh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang teguh serta eksport bukan E&E dan sokongan dasar yang berterusan.

“Bagaimanapun, pertumbuhan KDNK dijangka sederhana pada suku keempat 2022 apabila kesan asas berkurangan manakala risiko penurunan daripada persekitaran luaran semakin ketara. Kami menjangkakan ekonomi Malaysia tahun depan berkembang pada 4.5 peratus,” tambahnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*