
MALAYSIA: Kuala Lumpur: Bayaran fasa kedua dan permohonan baharu serta rayuan yang diluluskan bagi Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) akan dibuat dalam bulan Januari 2021.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran fasa pertama sejumlah RM4.5 bilion telah berjaya disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima, merangkumi tujuh juta penerima daripada kategori B40 dan 2.86 juta penerima daripada kategori M40.
“Bagi penerima BPN 2.0 yang tidak mempunyai akaun bank, penunaian telah mula disediakan di cawangan Bank Simpanan Nasional mulai 26 Oktober 2020.
“Tempoh permohonan baharu serta rayuan BPN 2.0 pula telah berakhir pada 15 November lalu,” katanya dalam Laporan Laksana ke-31 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di Kuala Lumpur, hari ini.
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM7 bilion untuk meringankan beban 7.5 juta penerima B40 serta 3.1 juta penerima M40 melalui pemberian bantuan tunai secara one-off.
Sementara itu, bagi Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 pula, pemohon boleh menyemak
status permohonan sejak 27 November lalu, manakala pembayaran sudah dibuat sejak 30 November 2020.
“Sebanyak 304,000 PKS Mikro layak menerima bantuan one-off berjumlah RM3,000 dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM912 juta.
“Secara keseluruhannya, hampir 850,000 PKS mikro telah menerima GKP dan GKP 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM2.55 bilion.
“Bagi mereka yang gagal permohonan, tempoh rayuan GKP 2.0 akan dibuka dari 7 hingga 21 Disember 2020 yang boleh dibuat secara dalam talian di https://gkp.hasil.gov.my,” katanya.
Bagi Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) yang telah bermula sejak Oktober
2020, setakat 20 November lalu, sebanyak RM164.26 juta (peningkatan daripada RM148.22 juta minggu lalu) telah dibelanjakan bagi membantu sebanyak 34,479 majikan (peningkatan daripada 30,492 minggu lalu) untuk terus beroperasi dan mengekalkan seramai 273,767 pekerja (peningkatan daripada 247,035minggu lalu).
“Diingatkan bahawa permohonan baru bagi PSU 2.0 masih dibuka kepada majikan sehingga 31 Disember 2020,” katanya.
Permohonan baharu BPN 2.0 dibuka hingga 15 November
Kuala Lumpur: Permohonan baharu bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi permohonan yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada bulan Januari 2021.
“Secara keseluruhannya, BPN 2.0 dijangka meringankan beban 7.5 juta penerima bujang dan isi rumah B40, serta 3.1 juta penerima M40, menjadikan keseluruhannya 10.6 juta penerima yang boleh memanfaatkan bantuan ini.
“InsyaAllah, penyaluran bayaran akan selesai menjelang hujung bulan ini,” katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-27 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di laman Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, bagi penerima BPN 2.0 yang tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh membuat pengeluaran tunai di Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020.
“Terdapat juga lebih kurang 6,000 penerima yang didapati gagal kredit membabitkan RM2.71 juta dan mereka boleh membuat pengeluaran BPN2.0 mulai minggu kedua November 2020.
“Memandangkan terdapat beberapa negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan telah memulakan proses penyaluran bantuan lebih awal daripada dijadualkan.
Bayaran BPN 2.0 fasa pertama pada mulanya dijangka bermula pada 26 Oktober, namun telah mula disalurkan sejak 19 Oktober lalu.
Katanya, ia adalah hasil usaha pegawai-pegawai Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan institusi kewangan yang memastikan sistem pembayaran tersedia dengan segera.
Setakat 26 Oktober, sejumlah RM3.6 bilion telah berjaya disalurkan kepada lebih 7.32 juta penerima.
Ini merangkumi 6.27 juta penerima daripada kategori B40 dan 1.05 juta penerima daripada kategori M40.
Leave a Reply