Bolasepak bukan main seorang, Liga Malaysia bakal dibatalkan ?

Bolasepak bukan main seorang, Liga Malaysia bakal dibatalkan

Jika sebelum ini MFL dan FAM ada memaklumkan bahawa Liga Malaysia bakal diteruskan dengan SOP yang lebih ketat. Namun dalam sidang media Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa tiada sebarang pertandingan atau perlawanan bolasepak di negara ini selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau memaklumkan perkara tersebut, selepas ditanya oleh seorang wartawan mengenai usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL bagi mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneruskan saingan Liga Malaysia musim ini.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan ialah tidak membenarkan mana-mana aktiviti berkumpulan berlangsung dalam tempoh 6 bulan selepas tamat PKP.

“Kita telah menetapkan bahawa selepas tamat PKP, tiada sebarang aktiviti berkumpulan. Jadi bolasepak tidak mungkin main sorang-sorang, kena ada kumpulan. Dia tidak main sorang-sorang macam badminton single”

“Jadi apabila kita melihat kepada SOP yang telah kita tetapkan maka kita tidak boleh membenarkan pertandingan bolasepak diadakan. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan pada hari ini contohnya, esok rakyat tidak boleh lagi bergerak bebas seperti hari biasa.”

“Tentu sahaja ada SOP yang bakal diperkenalkan dan hendaklah dipatuhi oleh semua orang selepas PKP ditamatkan”- Jelas Dato Sri Ismail Sabri

Kenyataan daripada Menteri Keselamatan ini memberi bayangan kepada saingan Liga Malaysia musim ini berkemungkinan besar dibatalkan dan ia sudah pasti akan memberi kesan yang besar kepada industri bolasepak negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*