ASEAN 2025 : TARIKH, LOKASI DAN DASAR BERKERJA DARI RUMAH
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bakal menjadi acara tumpuan utama di Asia Tenggara apabila Malaysia mengambil peranan sebagai tuan rumah bagi perhimpunan tertinggi melibatkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN. Acara berprestij ini dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini dan akan menyatukan ketua-ketua negara untuk membincangkan pelbagai isu serantau seperti kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan, perubahan iklim, transformasi digital dan hubungan antarabangsa.
Sebagai negara penganjur, Malaysia dijangka memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju strategik ASEAN bagi tahun-tahun mendatang. Dalam masa yang sama, orang ramai khususnya warga kota dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan lalu lintas serta penutupan jalan di beberapa lokasi tertentu.
Lihat Juga : Niat Puasa Dihari Arafah
PENGENALAN ASEAN 2025
Sidang Kemuncak ASEAN merupakan pertemuan tertinggi melibatkan pemimpin negara-negara anggota ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) yang diadakan secara berkala untuk membincangkan pelbagai isu penting di peringkat serantau dan antarabangsa. Sidang ini menjadi platform utama bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, keselamatan, kesihatan, pendidikan, perubahan iklim serta hubungan antarabangsa.
Mesyuarat ini dihadiri oleh ketua negara atau ketua kerajaan daripada 10 negara anggota, iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Sidang ini turut berperanan dalam merangka dasar serta inisiatif serantau ke arah menjamin kestabilan dan kemakmuran bersama.
Melalui pelbagai deklarasi serta perjanjian yang dicapai, ASEAN terus memperkukuhkan perpaduan dan identitinya sebagai sebuah komuniti serantau yang progresif dan berpengaruh di peringkat antarabangsa.
OBJEKTIF SIDANG KEMUNCAK ASEAN
- Memperkukuh Kerjasama Serantau
- Mempererat hubungan antara negara-negara anggota ASEAN dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik, sosial, budaya dan keselamatan, demi mencapai manfaat dan kepentingan bersama.
- Menangani Isu Serantau dan Global
- Menyatukan pendirian serta tindakan bersama dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa seperti krisis ekonomi, wabak penyakit, perubahan iklim, ancaman keselamatan siber dan ketegangan geopolitik.
- Mempromosi Keamanan dan Kestabilan
- Menggalakkan dialog terbuka dan pendekatan diplomatik bagi mencegah konflik serta memastikan kestabilan politik dan keselamatan di rantau Asia Tenggara terus terpelihara.
- Memperkukuh Identiti Komuniti ASEAN
- Menyemai semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat ASEAN melalui pelbagai program sosial, budaya dan pendidikan yang menghubungkan masyarakat serantau.
- Menggalakkan Keterangkuman dan Pembangunan Mampan
- Mendorong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan lestari dengan memberi penekanan kepada pembangunan negara anggota yang kurang membangun agar tidak tertinggal dalam arus kemajuan serantau.
Negara yang Terlibat
Berikut ialah senarai 10 negara yang terlibat dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46:
- Malaysia
- Brunei Darussalam
- Kemboja (Cambodia)
- Indonesia
- Laos
- Myanmar
- Filipina (Philippines)
- Singapura
- Thailand
- Vietnam
Timor-Leste (Timor Leste) kini telah diterima secara prinsip sebagai anggota ke-11 ASEAN, namun masih dalam proses pelaksanaan keanggotaan penuh. Negara ini menyertai sebahagian mesyuarat sebagai pemerhati.
Maklumat Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN 2025: Tarikh, Tempat & Jadual
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung mengikut ketetapan berikut:
- Tarikh: 26 dan 27 Mei 2025
- Lokasi: Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
- Tema: Keterangkuman dan Kemampanan
- Penyertaan: Seramai 20,000 individu dijangka hadir, terdiri daripada perwakilan rasmi, peserta, anggota sekretariat dan kakitangan sokongan.
Pemimpin yang Dijangka Hadir:
Kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN
19 ketua negara lain, termasuk dari negara-negara Teluk dan China
Langkah Bekerja Dari Rumah (BDR) Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46
Bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada penghujung bulan ini, kerajaan akan melaksanakan langkah Bekerja Dari Rumah (BDR) secara fleksibel kepada penjawat awam yang terkesan akibat kesesakan lalu lintas.
Ketua jabatan diberi kuasa untuk mempertimbangkan permohonan BDR berdasarkan garis panduan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.4.1.2.
Dasar ini dirangka dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan operasi agensi dan kebajikan pegawai, sejajar dengan nilai-nilai Malaysia Madani.
Penjawat awam yang berkelayakan digalakkan untuk berunding dengan ketua jabatan masing-masing, dan sebarang pelaksanaan hendaklah mengikut tatacara yang ditetapkan bagi menjamin kelancaran perkhidmatan awam.
SUMBER : JABATAN PENERANGAN MALAYSIA